Rujukan: Dipetik dari buku Taubat kepada Allah,ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dan diterjemah oleh Ustaz Mohammad Zaini b Yahya.
Al-Quran
ada memaparkan kepada kita kisah taubat Nabi Yunus a.s ketika beliau menyeru
kaumnya supaya menyembah Allah. Mereka tidak menerima seruannya. Lantas Nabi
Yunus tidak bersabar melihat penolakan mereka sehingga beliau memarahi mereka.
Beliau kemudian menjauhkan diri dari mereka. Lalu Allah menguji beliau dengan
satu cubaan yang bertujuan untuk membersihkannya, menampakkan kekuatan jiwanya,
keyakinannya kepadaNya dan kebenarannya bersama Allah.
Pada
suatu hari beliau menaiki sebuah bahtera. Apabila bahtera tersebut berada
ditengah lautan, tiba-tiba ia ditiup angin yang kencang. Ombak yang kuat pun
memukul-mukul bahtera tersebut. Semua yang berada di dalamnya mula bimbang
mereka akan karam. Mereka berkata,"Kita mestilah mengurangkan beban bahtera ini agar kita semua tidak
karam." Mereka tidak mempunyai pilihan yang lain selain dari membuang sebahagian
penumpang ke dalam lautan untuk menyelamatkan sebahagian penumpang yang lain.
Mereka
pun membuat pilihan melalui undian. Undian tersebut terkena pada Nabi Yunus
a.s. Tiada pilihan yang lain bagi Nabi Yunus melainkan akur kepada persepakatan
tersebut. Maka beliau pun dibuangkan ke dalam lautan. Beliau ditelan ikan paus
atau "An-Nun" sebagai celaan kerana memarahi kaumnya dan berputus asa
dengan meninggalkan mereka tanpa terus berusaha menyeru mereka lagi. Di sini jelas kelihatan
keyakinan nabi Yunus,Zun Nun. Di dalam kegelapan laut, malam dan perut paus
yang menyelubunginya itu, Nabi Yunus pun menyeru dengan kalimah-kalimah yang
telah dirakamkan dan diabadikan oleh
al-Quran melalui perkisahannya;
"Maksudnya:
Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah,
lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya),
maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap,
"Bahawa
tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang yang
zalim." Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari
kedukaan. Dan, demikianlah kami menyelamatkan orang-orang yang beriman."
(Surah al-Anbiya' ayat 87-88)
Tiga
kalimah ringkas yang diserukan oleh Nabi Allah Yunus tersebut mempunyai
pengertian yang agung. Kalimah-kalimah tersebut ialah.
Pertama:
Kalimah yang menunjukkan tentang ketauhidan (tauhid Uluhiyyah) yang menjadi
sebab kenapa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitab-kitab serta
sebab kepada pembinaan syurga dan neraka.Kalimah tersebut ialah;
La
ilaha illa anta.
Kedua:
Kalimah yang membersihkan Allah dari segala sifat kekurangan. Ia adalah makna
tasbih yang menjadi sebab kepada penciptaan langit dan bumi serta semua
makhluk. Setiap sesuatu pasti bertasbih kepadaNya. Kalimah itu ialah; Subhanaka.
Ketiga:
Kalimah yang membuktikan pengiktirafan terhadap dosa dan kelalaian dalam
menunaikan hak Tuhan serta menzalimi diri sendiri lantaran kelalaian.
Kalimah
tersebut ialah; Inni kuntu minazzholimiin.
Inilah
slogan atau tema kepada taubat.
Tidak
hairanlah jika kalimah-kalimah yang benar lagi ikhlas ini mempunyai kesan yang
segera terlaksana di dunia sebelum Akhirat. Seterusnya Allah berfirman
"Maksudnya:
"Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami
selamatkan orang-orang yang beriman".
(Surah
al-Anbiya' ayat 88)
Kalimah-kalimah
ini berserta tiga pengertiannya iaitu tauhid, pembersihan dan pengiktirafan
telah menjadi teladan di dalam permunajatan dan di dalam menghadapi kesulitan,
sehingga terdapat dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi
dan hukumnya sebagai sahih;
"Doa
saudaraku Zun Nun, yang jika dibaca oleh orang-orang yang mendapat kesulitan,
nescaya Allah akan membebaskannya dari kesulitan itu, iaitu: "Tiada Allah
selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku temasuk dikalangan
orang-orang yang zalim."
Wallahu'alam
Personal
Remark:
-Saya
rasa ada banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini. Antaranya
ialah:
1.
Agar
kita segera bertaubat apabila menyedari akan kesilapan yang telah kita lakukan.
Ucaplah kalimah taubat seperti yang diucapkan oleh Nabi Yunus dan yakinlah akan
bantuan serta haraplah keampunan dari Allah.
Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun.
2.
Supaya
kita selalu beringat bahawa Allah lebih berhak ke atas kita dan Dia berhak
menghukum kita atas kesalahan yang kita lakukan. Mohonlah keampunan daripadaNya
dengan harapan hukuman ke atas kita akan diringankan dan dipermudahkan serta
dosa kita di ampunkan.
3.
Hukuman
serta dugaan dari Allah adalah salah satu cara tarbiah Allah kepada hambaNya
agar kita sedar akan kelemahan serta kelalaian diri dalam melaksanakan
suruhanNya serta meninggalkan laranganNya. Hukuman dan dugaan juga adalah cara
penghapusan dosa, pembersihan diri dan pengukuhan pada tahap keyakinan, ketaqwaan dan penyerahan diri sepenuhnya
kepada Allah agar kita tidak mudah putus asa dan yakin akan pembelaanNya
kepada orang-orang yang beriman.
4.
Supaya
kita yakin, bahawa pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka, selagi belum
tibanya hari Akhirat atau selagi ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum).
(Perihal "ajal sampai ke tenggorok" ada diriwayatkan oleh Ibn Majah
dan At-Tirmizi di dalam satu hadith hasan yang bermaksud: "Sesungguhnya
Allah menerima taubat seseorang hamba selagi mana ajalnya belum sampai ke
tenggorok (halkum)."
5.
Peringatan
supaya jangan mudah putus asa dalam usaha menyeru umat manusia ke jalan Allah
dan dalam berdakwah. Sentiasa yakin akan pertolongan dan bantuan Allah dan
yakinlah bahawa jalan Allah adalah jalan yang jelas kebenarannya.
Wallahu'alam.
Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu adalah dengan
keizinanNya tetapi di atas kelemahan dan kecuaian diri saya sendiri.
Jazakallahu khair.
0 komentar:
Posting Komentar